Thursday, 12 March 2015

TOKOH USAHAWAN YANG BERJAYA

Puan Rozita Bin Ibrahim


Tokoh: Puan Rozita Bin Ibrahim
Umur: 40
Syarikat : Sendayu Tinggi Corporation

Wanita berstatus ibu tunggal ini dahulunya adalah seorang penoreh getah yang keluar menoreh seawal jam satu pagi. Lebih mengejutkan, sepanjang menjadi penoreh getah suatu masa dahulu, beliau tidak pernah melihat wang kertas RM50.Malah semasa melahirkan bayinya, tiada bidan yang menyambut anaknya kerana beliau seorang yang sangat miskin untuk membayar kos perbidanan. Anaknya yang baru berusia 3 bulan, terpaksa diberikan minuman sirap bagi menggantikan susu dan baju raya anak-anaknya adalah baju yang dikutip di tepi jalan dan dibasuh sesempurna mungkin. Lebih menyedihkan, anak keduanya pergi mengadap Ilahi tanpa sempat menikmati kesenangannya hari ini akibat tidak mendapat rawatan yang baik ketika sakit.

Puan Rozita Ibrahim menamatkan zaman gadisnya dalam usia yang terlalu muda dengan lelaki pilihan keluarga. Keputusan berpisah dengan suami pertama menyebabkan dia dipulaukan oleh keluarga. Justeru itu, dia membawa diri ke kota dan mencuba pelbagai jenis pekerjaan untuk menampung empat orang anaknya.Bermula sebagai pekerja kilang, beliau kemudian berkerja sebagai penyambut tetamu di sebuah hotel dengan matlamat untuk meningkatkan pendapatan seisi keluarga. Keadaan anak-anak yang semakin membesar dan memerlukan perbelanjaan yang tinggi membuatkan beliau nekad menceburi bidang jualan langsung. Dari situlah, beliau mencabar dirinya membuat produk sendiri. Barang kemas yang sedikit sebanyak terpaksa digadaikan sebagai modal. Akhirnya, dengan bermodalkan RM400, Puan Rozita memulakan perniagaan dengan menghasilkan formulasi herba. Beliau sanggup menjalankan ujikaji dengan menggemukkan badannya sendiri sebanyak 3 kali dan berjaya menurunkan berat badannya kembali secara sihat.

Setelah 5 tahun mengharungi pahit getir dalam dunia perniagaan, Rozita yang mengkagumi tokoh Lim Goh Tong dan Boon Siew Honda akhirnya memahat nama sebagai salah seorang usahawan produk kecantikan yang ternama di Malaysia, Sendayu Tinggi. Apa yang membanggakan, Sendayu Tinggi Corporation sudah pun mempunyai 9 anak syarikat di bawahnya. Jumlah pengedar produk beliau juga melebihi 2000 orang termasuk di Brunei dan Singapura. Bukan sekadar produk, wanita gigih ini turut mendekatkan diri dengan masyarakat dengan berkongsi pelbagai petua kecantikan, pantang larang, kebahahgiaan rumahtangga serta membina keyakinan diri untuk wanita. Malah puteri sulungnya juga turut mengikut jejak langkahnya mempunyai syarikat sendiri dalam bidang tekstil.

Apabila ditanya apakah matlamatnya di dalam perniagaan ini, beliau menjawab:

“Dunia perniagaan seperti dalam pertempuran. Kemenangan adalah matlamat. Azam sentiasa digenggam. Dalam konteks perniagaan, pasti ada keuntungan pun begitu, saya ingin memberikan kualiti yang terbaik kepada pengguna. Apa yang saya perolehi, saya salurkan kepada masyarakat terutama golongan susah, ibu tunggal, orang tua, dan anak yatim. Bagi saya itulah nilai sebuah kasih sayang yang tidak dapat dijual beli dengan wang ringgit. Saya sayangkan masyarakat dan saya juga ingin disayangi oleh masyarakat. Harapan utama ialah saya mahu mewarnai masyarakat, wanita dan ibu tunggal khususnya dari pelbagai aspek”

Bayangkan, dari seorang penoreh getah kini Puan Rozita Ibrahim telah menjadi pemilik syarikat Multinasional yang berjaya.

No comments:

Post a Comment