Saturday, 16 April 2016

KES PEMBUANGAN BAYI DI KALAGAN REMAJA


Secara umumnya,Malaysia kini dengan bangganya menuju ke alaf baru yang berorientasikan sains dan teknologi. Namun mereka iaitu ibu bapa terlalu  alpa dengan perkembangan sosial di negara ini. Setiap hari , terdapat laporan bayi yang dijumpai di dalam tandas, di tepi longkang, dan lain-lain tempat tanpa ada perasaan perikemanusiaan. Sedangkan haiwan sayang akan anak mereka inikan pula manusia yang berbuat demikian.
Kita sedia maklum bahawa kebanyakan kehamilan remaja berpunca dari seks sebelum kahwin, sumbang mahram, rogol dan penderaan seksual. Keadaan ini telah menyebabkan remaja-remaja kini menghadapi pelbagai cabaran kerana mereka belum bersedia untuk menjaga bayi mereka. Oleh itu, mereka terpaksa bertindak untuk membuang bayi mereka. Keadaan mereka yang sedang berada di alam persekolahan dan masih mengalami proses tumbesaran dan kematangan telah mengeruhkan lagi keadaan kerana mereka perlu berhadapan dengan akibat kehamilan semasa remaja dari segi perubatan psikologi sosial.
Keadaan sekeliling juga telah memaksa mereka untuk berhadapan dengan sikap masyarakat yang tidak prihatin, hanya berpeluk tubuh, dan mengabaikan isu itu turut menjadi punca gejala ini menjadi-jadi. Sikap ini adalah sesuatu yang memalukan dan telah menyebabkan masalah pembuangan bayi masih terus berleluasa.


PUNCA-PUNCA
Antara  punca  kepada  masalah  pembuangan  bayi  yang  kian  berleluasa  ini  adalah  kurangnya  didikan  agama  dalam  kalangan  remaja.Kekurangan  didikan agama yang  merupakan  panduan  dan  pedoman  hidup  telah  menyebabkan  mereka  hilang  arah  dalam  kehidupan  dan  terlibat  dalam  gejala-gejala  negatif  seperti  pergaulan  bebas .Remaja  yang  melibatkan  diri  dalam  gejala  pergaulan  bebas  akan  terdorong  untuk  menjalinkan  hubungan  bertentangan  dengan  hukum  agama.Kesannya,remaja  perempuan  akan  mengandung  tanpa  ikatan  yang  sah.Dalam  situasi  tersebut , remaja  yang  lemah  pegangan  agama  tidak  akan  teragak-agak  untuk  membuang atau  membunuh  zuriat  yang  dilahirkan  kerana  malu  dan  tidak  mahu  bertanggungjawab  atas  zuriat  tersebut.Hal  ini  menunjukkan  peranan  agama dalam  kehidupan  adalah  amat penting untuk membentuk pegangan hidup yang teguh dan bukannya menurut hawa nafsu semata-mata .Malah,   ayat  al-Quran, surah Sad,ayat  26 juga menyatakan bahawa ,“…janganlah  kamu  menurut  hawa  nafsu  kerana  yang  demikian  itu  akan  menyesatkan  kamu  dari  jalan  Allah…”.Hal ini membuktikan bahawa pegangan agama yang teguh akan menjadi benteng  yang  kukuh  bagi  menangkis  segala  anasir-anasir  yang negatif  dalam  kehidupan.       
  Di samping  itu, sikap  ingin  tahu  remaja  juga  antara  punca  kepada  masalah  ini.Remaja   kini  sangat  cenderung  untuk  mencuba  sesuatu   yang  baharu . Sikap  ingin  tahu  tentang  sesuatu  sememangnya  wujud dalam  diri  remaja.Setiap  perkara  yang  dilarang  itulah  yang  ingin  diterokai  oleh  mereka.Remaja  beranggapan  bahawa  mereka  menjadi  lebih  matang  dan  hebat dengan  mencuba  sesuatu  yang  jarang  dilakukan  oleh  orang  lain. Lebih-lebih  lagi  perlakuan seks  rambang .Hakikatnya  remaja  yang  matang  seharusnya  berfikiran  positif  dan  rasional  dalam  membuat  keputusan dan  bukannya  dengan  cara  yang  ditegah  oleh  agama .Persis  kata  peribahasa  Melayu,“sesal  dahulu  pendapatan , sesal  kemudian  tidak  berguna”, menjelaskan kepada  kita  betapa  pentingnya  kita  membuat  keputusan  dengan  bijak  agar  tidak  menyesal  di kemudian  hari.Tambahan  pula,remaja  pada  masa  sekarang   boleh  dikatakan  lebih  rapat  dan  banyak  menghabiskan  masa   bersama    rakan  berbanding  dengan  ibu bapa mereka. Maka,boleh dikatakan  pengaruh  rakan  sebaya  yang   negatif  juga  menjadi  antara  punca  kepada  masalah  ini.


  
KESAN-KESAN
            Isu  pembuangan  bayi  dalam  kalangan  remaja    ini  telah  memberikan  impak    yang  begitu  besar  dalam  kalangan  masyarakat,negara  mahupun diri remaja sendiri.Antara  kesan permasalahan  ini kepada  remaja  pada  masa  kini  adalah  masa  depan  remaja  musnah  begitu  sahaja  akibat  kelalaian  mereka  menuruti  hawa  nafsu  tanpa  memikirkan  kesannya.Isu  ini  akan turut  memberi  impak  kepada  negara. Antara  kesan  isu ini kepada  negara pula adalah  Perkembangan  ekonomi  negara  akan  merosot dan  seterusnya menjejaskan  pendapatan  negara. Hal  ini  demikian  kerana, remaja  merupakan  aset  penting  negara  pada  masa  hadapan  dan  memainkan  peranan  yang amat penting  dalam  pembangunan  negara.Masa  depan  negara  terletak  ditangan  generasi  muda  yakni  remaja  itu   sendiri .Hal  ini  kerana , pemuda  harapan  bangsa , pemudi tiang  negara.Namun  begitu , jika  perilaku  negatif  remaja  berterusan.Siapakah  yang  akan  membela  nasib  negara  kita  pada  masa  akan  datang? 
       
           Selain  itu,zuriat  yang  dilahirkan  juga  mengalami  kesan  yang  mendalam..Zuriat  merupakan  anugerah  tuhan  yang  tidak  ternilai.Namun,kepada  mereka  yang  terlanjur,  zuriat  yang  dilahirkan  dianggap  beban  atau  masalah  dan  bukti  keterlanjuran  atau  kesalahan  yang  mereka  lakukan.Hal  ini  mendorong  mereka  untuk  membunuh  atau  membuang  zuriat  tersebut .Namun, wajarkah  bayi  yang  tidak  berdosa  itu  dihukum  akibat  kesalahan  yang  dilakukan  oleh  ibu bapanya?.Lebih  menyedihkan  lagi  bayi  yang  ditinggalkan  bukan  sahaja  dibunuh  malah  kadang-kala  menjadi  habuan  binatang  buas.Bagi  bayi  yang  masih  bernyawa  pula  kesannya  lebih  mendalam  kerana  mereka  terpaksa  menjalani  kehidupan  dengan  memegang  gelaran  anak  luar  nikah .Selain  itu,bayi  tersebut  juga  tidak  dapat  mengenali  dan  mendapat  kasih  sayang  ibu  bapa  kandung  mereka. Masa  depan  mereka  akan  turut  terjejas. 
 
           Seharusnya, kita  tidak  wajar  akur  dengan  arus  songsang  ini.Antara  langkah yang   boleh  diambil  bagi  mengatasi  kemelut  ini  adalah  dengan  memberi  perhatian  dan didikan  agama  yang  cukup  kepada  remaja  sejak  kecil  lagi .Hal  ini  kerana,melentur  buluh  biarlah  dari  rebungnya .Memberi  didikan dan  perhatian kepada  anak-anak  merupakan  tanggungjawab  atau  peranan  setiap  ibu  bapa.Jika  ibu  bapa  sendiri  lalai  daripada  melaksanakan  tugas  mereka  akibat  rakus  mengejar  kemewahan  duniawi.Bagaimana  pula  dengan  nasib  anak-anak  mereka  yang  kurang  didikan  dan  kasih  sayang?.Lebih-lebih  lagi, pada  usia  yang  mencabar  inilah  remaja  memerlukan  sokongan dan  kasih  sayang  daripada  ibu  bapa.Namun,kebanyakan  ibu bapa mengabaikan tanggungjawab  mereka.Dalam  situasi  ini, sudah  tentu  remaja  lebih  cenderung  untuk  memilih  jalan  yang  negatif   bagi  mereka  berkongsi  kasih dan  mendapatkan  perhatian  akibat  kurangnya  didikan  agama.Oleh  itu,masalah  ini  dapat  diatasi  jika   ibu  bapa melaksanakan  tanggungjawab  mereka  dengan  baik.  
          Selain  itu, Pihak  berkuasa  terutama  pihak  polis  hendaklah  membanteras pengedaran  bahan-bahan  lucah  daripada   tatapan   anggota  masyarakat  terutama  golongan  remaja. Pihak  berkuasa  juga  hendaklah  mengenakan  hukuman  yang  setimpal dan  lebih  berat  iaitu  penjara  seumur  hidup  kepada  mereka  yang  didapati  bersalah. Hal Ini harus dilakukan  agar remaja  berasa takut dan serik  untuk melakukan atau  terlibat  dengan  gejala  pembuangan  bayi  yang   kian  berleluasa  ini. Mereka  juga  akan berhati-hati  semasa  bergaul dan mengelakkan hubungan yang melampaui batasan agama. Penekanan   pendidikan  juga  amat  penting  bagi  menyedarkan  masyarakat  terutama remaja  supaya  mereka  tidak  terjebak  dalam  masalah sosial yang membabitkan jenayah ini.

          Kesimpulannya,masalah  pembuangan  bayi  ini  dapat  diatasi  di  negara kita   sekiranya  wujud  kesedaran  dan  rasa  tanggungjawab  dalam  diri  setiap  individu yang  bergelar  rakyat  Malaysia. Justeru itu, setiap  warga  masyarakat  tanpa  mengira  kaum  haruslah  bersatu  padu  menggembleng  tenaga  mencegah  dan  membanteras  penyakit  sosial  ini  agar  tidak  menular  dengan  lebih  serius dan  menjejaskan  pembangunan  dan  matlamat  negara  kita  untuk  mencapai  wawasan 2020.Hal  ini  kerana,gejala  ini  melibatkan  bakal  pemimpin-pemimpin  negara  kita  yakni remaja.Oleh  itu,marilah  kita  bersama-sama  berganding  bahu  membanteras  gejala  ini.Bak  kata  pepatah  hendak  seribu  dalih , tak  hendak  seribu  daya.

                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                               

No comments:

Post a Comment